Tinggal berapa minggu saja lagi untuk saya berangkat pulang ketanah air, berbagai rasa ada, tapi yang paling ketara adalah rasa gembira. Setelah bertahun-tahun saya tinggalkan tempat kelahiran saya, kini saya akan kembali. Kepulangan saya tidak akan disambut oleh ibubapa saya, tiada senyuman dibibir mereka, kerana ibubapa saya tiada lagi didunia ini. Tiada lagi rumah pusaka atau kampung yang nak dituju. Tapi itu tidaklah mematahkan semangat saya untuk pulang. Kepulangan saya ini bersama cinta dan harapan, saya impikan sebuah kehidupan yang bahagia dan mendamaikan di tanah air sendiri, Malaysia.
Banyak benda yang nak dirancang dan dilakukan, ialah untuk membina kembali asas, membina tempat tinggal, yang dipanggil rumah. Seperti insan lain, saya juga punya impian, mahu punya rumah yang sempurna dan selesa. Agar saya dapat bernaung dibawahnya dengan hati yang tenang, tenteram dan selamat. Bila saya kata rumah yang sempurna dan selesa, bukanlah bermakna yang rumah itu perlu besar. Sempurna dan selesa yang saya maksudkan, ialah rumah yang dapat memberi kebahagiaan dan kesejahteraan kepada penghuninya. Agar setiap penghuni yang berada didalamnya merasa aman, damai, gembira dan saling sayang menyayangi. Rumah yang sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan kemesraan serta senda gurau, agar cinta terus teguh dan subur. Semoga Allah Yang Maha Esa merahmati dan merestuinya…
*Cinta dan sayang ku pada mu tetap padu…